NEW YORK: Lebih 90,000 penduduk di sebuah daerah di timur Atlanta, negeri Georgia, Amerika Syarikat (AS) diarahkan untuk terus berlindung di tempat masing-masing pada Isnin selepas kebakaran kilang kimia mengeluarkan asap hitam tebal ke udara.
Xinhua, yang memetik The Associated Press, melaporkan tinjauan kualiti udara yang dilakukan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar dan Bahagian Perlindungan Alam Sekitar negeri itu ‘mengesan kehadiran bahan klorin merengsakan yang berbahaya’.
Kerajaan Daerah Rockdale, dalam satu kenyataan awal pagi Isnin, berkata pencemaran udara itu berlaku akibat kebakaran di kilang BioLab di Conyers.
“Bagi semua yang berlindung di tempat masing-masing, amalan terbaik adalah mematikan penyaman udara dan menutup tingkap serta pintu,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA-XINHUA