KUCHING: Dua tapak bagi pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu telah dikenal pasti di kawasan pesisir negeri ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, pembinaan balai bomba di kawasan pesisiran pantai, khususnya di Simunjan, Saratok, dan Tanjung Manis adalah penting untuk meningkatkan kecekapan pasukan bomba dalam menangani sebarang insiden di kawasan tersebut.
Beliau berkata pihaknya berharap agar Premier Sarawak dapat meluluskan permohonan tanah untuk JBPM membina balai bomba di kawasan tersebut.
“Kami telah mengenal pasti dua tapak untuk pengambilan tanah dan berharap Premier Sarawak mempertimbangkan cadangan tersebut bagi membolehkan kami menulis kertas kerja kepada agensi pusat untuk membina balai bomba di salah satu atau kedua-dua tapak itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Jangkauan ‘Ke Arah Komuniti Berdaya Tahan’ anjuran JBPM Sarawak di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No. 4 di sini, hari ini.
Nor Hisham berkata, kawasan tersebut dikenal pasti sebagai lokasi kritikal untuk pembinaan balai bomba baru disebabkan oleh pembangunan infrastruktur seperti jambatan yang bakal siap dan peningkatan trafik di sepanjang kawasan persisiran pantai.
Mengenai program anjuran JBPM Sarawak itu, Nor Hisham menjelaskan bahawa Sarawak adalah negeri yang paling banyak menganjurkan program kebombaan melibatkan masyarakat dan sektor swasta.
Katanya, program itu bertujuan mendidik masyarakat tentang keselamatan kebakaran dan menanamkan sifat kesukarelawanan dalam kalangan mereka.
“Apabila masyarakat menyertai program-program ini, ia secara tidak langsung meningkatkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mereka. Itulah yang kita perjuangkan.
“Apabila kita peka dan mengambil berat terhadap jiran kita, kita akan membentuk komuniti yang baik untuk masa depan.” katanya.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Oleh Mohd Neenatul Aizal