KAPIT: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menekankan kepentingan untuk mengembalikan perwakilan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah, selari dengan laporan Suruhanjaya Cobbold.
Katanya, asalnya Malaysia merangkumi Singapura, Sabah dan Sarawak, yang membentuk lebih daripada satu pertiga Parlimen.
Namun, apabila Singapura keluar dari Malaysia, kerusi-kerusi tersebut diberikan kepada Semenanjung Malaysia.
“Perkara melibatkan 35 peratus perwakilan Parlimen (Sarawak dan Sabah) ini kerana dalam Suruhanjaya Cobbold, terdapat perlindungan kepada semua budaya, agama dan bahasa.
“Kongsilah dengan Sabah dan Sarawak kerana ia selari dengan laporan Suruhanjaya Cobbold, bukan kerana kita mahu lebih, tetapi hanya mahu ia dipinda kepada satu pertiga,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Komuniti Masyarakat Kapit di Dewan Suarah Kapit hari ini.
Abang Johari berkata, jika Sarawak dan Sabah mempunyai satu pertiga perwakilan dalam Parlimen, perjanjian asas yang menjadi tunjang kepada pembentukan Malaysia akan kekal terjamin.
“Ini bukan soal kepentingan peribadi, tetapi untuk melindungi hak kita. Dalam demokrasi Parlimen, anda boleh meminda mana-mana bahagian Perlembagaan selagi mempunyai majoriti dua pertiga.
“Kita cuma bimbang kemungkinan ada usaha untuk membatalkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Jika kita mempunyai satu pertiga perwakilan, kita tahu perjanjian asas ini kekal utuh dan kita boleh terus membangun,” katanya.
Abang Johari juga memuji pemimpin terdahulu yang mempunyai kebijaksanaan dan visi jauh ke hadapan, termasuk Tun Jugah yang sering memberi peringatan supaya Sarawak tidak menjadi seperti tebu, yang manis pada mulanya tetapi pahit di penghujungnya.
“Sebab itu, Tun Jugah selalu berkata, jangan jadi tebu yang mulanya manis dan apabila habis manisnya, tinggal pahit sahaja yang keluar. Tetapi, Alhamdulillah, semuanya masih manis,” ujarnya penuh makna.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong; Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.