KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menawarkan 166 petak jualan sempena Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak dan Regata Sarawak dari 25 hingga 27 Oktober serta 1 hingga 3 November depan.
Tapak jualan disediakan untuk peniaga tempatan ini akan dibuka sepanjang Lebuh Java dan Jalan Gambier.
“Sebanyak 72 petak akan diperuntukkan bagi tekstil dan aksesori, manakala 70 petak disediakan untuk peniaga makanan dan minuman.
“Selain itu, 10 tapak khas disediakan untuk makanan panggang, dan 14 tapak lagi diperuntukkan kepada peniaga trak makanan.
“Bayaran untuk tempoh enam hari adalah sebanyak RM160.00 setiap petak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, semua peniaga diwajibkan untuk menyediakan peralatan sendiri seperti meja, kerusi, dan kanopi berwarna biru bersaiz 10’ x 10’ bagi memastikan keseragaman serta memudahkan penyusunan tapak jualan oleh pihak DBKU.
Permohonan tapak jualan boleh dibuat secara dalam talian bermula 4 Oktober dari 9 pagi hingga 4 petang melalui pautan di laman sesawang rasmi DBKU.
Pemohon perlu memuat naik gambar berukuran pasport mereka serta pembantu gerai atau pekerja, bersama dengan salinan kad pengenalan masing-masing.
Untuk peniaga makanan dan minuman, mereka juga perlu menyediakan salinan Sijil Kursus Pengendali Makanan dan Laporan Pemeriksaan Kesihatan serta Suntikan Pelalian Anti Tifoid, atau salinan Kad Pengendali Makanan DBKU.
Pemohon diingatkan untuk menyediakan nombor telefon dan alamat e-mel yang sah bagi memudahkan pihak DBKU memaklumkan keputusan permohonan.
Semua permohonan yang diterima akan ditapis melalui proses saringan dokumen sebelum pemohon yang layak dipilih melalui undian.
Hanya pemohon yang berjaya akan dihubungi untuk menghadiri sesi taklimat, membuat pembayaran, dan menyertai cabutan nombor petak pada 15 Oktober di Auditorium DBKU.
Keputusan permohonan boleh disemak melalui laman sesawang DBKU pada 11 Oktober bermula 2 petang.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi Bahagian Pelesenan DBKU di talian 082-512955.