BAYERN Munich boleh mengesahkan gelaran Bundesliga Jerman kelapan berturut-turut hujung minggu ini apabila berhadapan dengan Borussia Moenchengladbach esok di lubuk sendiri tanpa dua penyerang utama Thomas Mueller dan Robert Lewandowski yang digantung perlawanan.
Bayern bakal disahkan sebagai juara dengan kemenangan pada esok sekiranya Borussia Dortmund di tempat kedua tewas di Fortuna Duesseldorf yang diancam penyingkiran.
Senario itu akan membolehkan pasukan Hansi Flick mempunyai kelebihan 10 mata dengan baki tiga perlawanan.
Bagaimanapun, Bayern tanpa Lewandowski, penjaring terbanyak liga musim ini dengan 30 gol, dan Mueller, yang kurang satu daripada menyamai rekod 21 ‘assist’ Bundesliga dalam satu musim.
“Ini menjengkelkan, tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa,” kata jurulatih Bayern, Flick.
Thiago Alcantara kemungkinan akan menggantikan Mueller sementara pemain sayap Serge Gnabry berupaya mengambil tempat Lewandowski di bahagian serangan jika dia cergas setelah kembali daripada kecederaan.
Bayern membuktikan mereka mampu menjaringkan gol tanpa Lewandowski dengan membelasah Hoffenheim 6-0 pada akhir Februari ketika penyerang dari Poland itu mengalami kecederaan.
Mereka hampir mengalami kejutan dalam kemenangan separuh akhir Piala Jerman, Khamis lepas ke atas Eintracht Frankfurt, ketika Danny da Costa menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat sebelum Lewandowski memastikan kemenangan 2-1 dengan gol ke-45 beliau musim ini.
Mueller mengakui Bayern amat letih untuk bergelut mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan pertama mereka dalam tempoh enam hari.
Tetapi mereka masih berusaha untuk mengulangi kejayaan berganda pada 2013 setelah menewaskan Chelsea 3-0 dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara UEFA sebelum kejohanan ditangguhkan pada pertengahan Mac kerana wabak Covid-19.
Pasukan tempat keempat Gladbach melakar kemenangan mengejutkan 2-1 di Borussia Park ketika kedua-dua pasukan bertemu pada Disember lalu.
Manakala pasukan Marco Rose agak tidak menentu akhir-akhir ini meski berjaya menewaskan Union Berlin 4-1 di tempat sendiri pada akhir Mei sebelum kalah di Freiburg hujung minggu lalu.
Rose berharap dapat memasukkan penyerang Switzerland, Breel Embolo, dengan pemain berusia 23 tahun itu kembali cergas selepas mengalami kecederaan kecil di pergelangan kaki.
Di kelompok terbawah liga, bekas gergasi, Werder Bremen menghadapi perlawanan penting di Paderborn dalam pertarungan dua pasukan terbawah.
Pasukan Bremwen, Florian Kohfeldt berada enam mata di bawah zon selamat di tempat ke-17 dan kurang tiga mata daripada tempat ‘play-off’ penyingkiran berikutan dua kekalahan berturut-turut di tempat sendiri.
Bremen, yang berada di Liga Juara-Juara satu dekad yang lalu, telah menghabiskan lebih banyak musim dalam divisyen satu Jerman berbanding kelab lain namun mereka kini kesuntukan masa.
“Kami tahu betapa pentingnya permainan ini,” kata penyerang Amerika, Josh Sargent. “Kelab ini mempunyai sejarah yang panjang, dan tidak ada yang ingin mengecewakan pasukan atau bandar raya ini,” katanya.- AFP