PERSATUAN Tinju Negeri Sarawak (SABA) akan mengemukakan cadangan kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bagi melakukan pembersihan atau proses ‘nyahcemar’ kepada gelanggang latihan.
Presiden SABA, Dato Rahman Lariwoo memberitahu, perkara tersebut amat ditekankan oleh pihaknya bagi memastikan gelanggang yang digunakan semasa latihan dan persekitarannya benar-benar bersih dan selamat.
“Kita akan mengemukakan cadangan kepada pihak MSNS berhubung perkara itu. Rasanya tiada masalah malah badan induk berkenaan memahami akan situasi tersebut,” ujarnya.
Menurut beliau, Mesyuarat Persiapan Kontinjen Sarawak Ke Sukma XX Johor berlangsung pada 16 Jun (Selasa) ini yang akan dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Justeru tambahnya, dijangka pihaknya akan turut mengemuka cadangan berkenaan pada mesyuarat itu nanti dan meminta pandangan daripada pihak kementerian.
Dalam pada itu, beliau yakin para petinju sedia ada dapat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang sesi latihan kelak.
“Pihak kita juga akan sentiasa memantau para petinju sepanjang masa termasuk ketika sesi latihan bagi memastikan mereka mematuhi SOP ditetapkan itu,” tambah Dato Rahman lagi.
Sembilan petinju terbaik taruhan SABA untuk menghadapi SUKMA XX Johor 2020 yang dijadual berlangsung 6 hingga 14 Mac 2021.
Petinju terbabit ialah Dealoniel Mcdelon Bong (60kg) iaitu penyumbang pingat emas ketika SUKMA 2018 di Perak.
Christyuden Ripoh (69kg) dan Wilson Berayin Sumbang (56kg) merupakan penyumbang pingat gangsa di temasya sama dua tahun lepas.
Di samping itu, enam petinju lain iaitu Jackson Chambai Ikeh (49kg), Muhammad Syawal Mohammad Isham (52kg), Mohd. Jamani Abdullah (64kg), Abdul Hakim Abdullah (75kg), Rais Arsyad Sulam (81kg) dan Hellary Hendry (91kg).