SIBU: Pasukan Pembangunan Masyarakat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Hilir.
Ketua pasukannya, Kaunselor Kevin Lau berkata, bantuan berupa barangan keperluan seperti beras, biskut, mi dan pakaian bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa.
“Walaupun kami dari kawasan Bawang Assan, kami tetap mengambil berat terhadap masyarakat Kampung Hilir yang terjejas teruk akibat kebakaran ini.
“Kami prihatin terhadap nasib masyarakat Melayu di sini dan berharap mereka terus kuat dan bersabar dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu mangsa memulakan langkah awal untuk meneruskan kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal.
Kejadian kebakaran pada Ahad lalu menyebabkan lebih 130 penduduk kehilangan rumah dan tempat tinggal mereka, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Setakat ini, mangsa ditempatkan di pusat penempatan sementara dengan bantuan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut tampil menyumbang keperluan harian.
Oleh Akun Giman