KUCHING: Kem tenpin boling Sarawak cemerlang dengan membolot enam pingat pada temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang berlangsung di Megalanes E-Mart Batu Kawa di sini, hari ini.
Skuad bimbingan Myron Khoo ini berjaya meraih tiga pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa.
Menurutnya, kejayaan tersebut menjadi pendorong semangat bagi rakan sepasukan untuk menampilkan prestasi terbaik dalam pertandingan yang berlangsung hingga Jumaat ini.
“Secara keseluruhan, pasukan kita menetapkan sasaran sebanyak 10 pingat emas, sekali gus mempertahankan gelaran juara keseluruhan tenpin boling yang dimenangi pada edisi sebelumnya.
“Ini kerana pada edisi 2022, kita juga berhasil meraih 10 pingat emas.
“Jika kita melebihi sasaran, itu akan menjadi bonus bagi kita,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nur Amalina Mohd Mosadad memenangi acara perseorangan wanita TPB 10 dengan 869 jatuhan pin, mengatasi Nur Hidayah Sulaiman dari Selangor (868 pin) dan Amalea Nasuha Aanizan dari Kedah yang meraih gangsa (564 pin).
Selain itu, Jacqueline Kaboh memenangi acara perseorangan wanita TPB3 dengan 1,011 jatuhan pin, mengatasi Athirah Azman dari Sabah (766 pin) dan Siti Hajar Hasan dari Perak (734 pin).
Bagi acara perseorangan terbuka TPB2, Roni Tugiman beraksi cemerlang dengan melakukan jatuhan pin sebanyak 1,086, menewaskan pesaingnya dari Pulau Pinang, Suhaili Ab Hamid (1,053 pin) dan Mohd Azmir dari Selangor (1,001 pin).
Oleh Mohd Neenatul Aizal