SIBU: Sebanyak 83 pasukan telah melayakkan diri untuk menyertai pusingan akhir Pertandingan Inovasi Pintar 2024 (SIC24) peringkat antarabangsa edisi ke-2, 27 dan 28 September ini.
Menurut Pengarah SIC 2024, Charlly Simon, pasukan ini terdiri daripada peserta dari dalam dan luar negara yang akan mulai tiba esok.
“Kesemua pasukan ini akan mempamerkan dan membentangkan sama ada produk atau konsep inovasi yang sudah dipilih untuk pusingan akhir.
“Maka ini kami minta kesemua pasukan bersedia sebaik mungkin bersama dokumen yang lengkap, persediaan akhir yang teliti dan merujuk kepada Buku Program yang sudah diedarkan bagi mendapat maklumat tentang Sibu dan juga tentang SIC’24.
“Begitu juga kami mengalu-alukan kedatangan semua juri undangan dari dalam dan luar negara bagi pertandingan ini yang akan mula tiba di Sibu Sarawak pada 26 September,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Sibu, hari ini.
Dalam pada itu, Charlly menyeru orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan SIC 2024 ini yang akan diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan di samping pertandingan SIC’24, termasuk pameran inovasi dan teknologi, pameran dari jabatan-jabatan Kerajaan peringkat Negeri mahupun Persekutuan, jualan dari Kolej Vokasional Sibu, dan Microwave bersama Persatuan Penggiat Filem Sibu.
“Kami berharap aktiviti ini mampu memberi pengisian yang bermanfaat untuk aktiviti orang awam dan keluarga di Sibu dan daerah sekitar hujung minggu ini nanti.
“Kemasukan adalah terbuka dan percuma. Ayuh masyarakat Sibu dan orang ramai, kita meriahkan SIC’24 tahun ini,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting