BINTULU: Pelabuhan Bintulu dijenamakan semula sebagai Pangkalan Bekalan Minyak dan Gas Borneo (BOG), menandakan langkah strategik Sarawak dalam memperkukuh kedudukannya sebagai hab utama tenaga hijau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, nama baharu itu akan memperkukuh Bintulu sebagai destinasi utama kapal-kapal yang berlayar ke pulau Borneo.
“Secara kebetulan, Sarawak terletak di Pulau Borneo, satu-satunya pulau yang boleh menjadi ‘bintang dunia’ iaitu bintang yang bercahaya jika kita benar-benar mempunyai ekosistem yang baik.
“Sebab itu saya cadangkan Pelabuhan Bintulu ini diberi nama baharu, ‘Borneo Oil and Gas Supply Base’.
“Dengan nama baharu ini, Pangkalan Bekalan BOG, secara automatik, jika ingin ke Borneo, perlu ke Bintulu dahulu,” katanya pada majlis pelancaran Pangkalan Bekalan Minyak dan Gas Borneo di Transit Shed, Multi-Purpose Terminal Bintulu Port Sdn Bhd, di sini hari ini.
Abang Johari berkata penjenamaan baharu ini adalah inisiatif kerajaan Sarawak untuk membangunkan potensi penuh pelabuhan tersebut.
“Kini lebih mudah kerana kita memiliki pelabuhan ini sepenuhnya, tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak lain.
“Lembaga kita sendiri boleh membuat keputusan,” jelas Abang Johari.
Beliau turut memberitahu, Pangkalan Bekalan BOG yang telah diiktiraf sebagai ‘pelabuhan hijau’, merupakan satu pencapaian penting yang dijangka akan meningkatkan daya saing ekonomi Sarawak, dengan memudahkan proses import bahan dan eksport produk tempatan.
Dengan pemindahan pemilikan BOG yang sedang berjalan, beliau yakin pengurusan fasiliti pangkalan ini akan menjadi lebih cekap kerana ia bakal sepenuhnya di bawah kawalan negeri.
“Kita tidak lagi memerlukan kelulusan pihak luar untuk mengurus operasi pelabuhan ini,” tambahnya.
Turut hadir, tiga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Kini, Pangkalan Bekalan BOG meliputi kawasan seluas 20 hektar dan terdapat perancangan untuk memperluaskannya kepada 120 hektar bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.
Perkembangan tersebut menandakan era baharu bagi Sarawak sebagai hab logistik dan tenaga hijau terkemuka.
Pangkalan BOG dijangka mengukuhkan status Pelabuhan Bintulu sebagai pusat maritim utama, menyokong aspirasi Sarawak untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Oleh Carolyne Utih