AKUN GIMAN
SIBU: Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan gelagat orang ramai memenuhi pekarangan Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cawangan Sibu adalah berita palsu.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting memberitahu, beliau telah meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat pemeriksaan ke Pejabat KWSP cawangan Sibu mengenai rakaman video yang tular itu.
“Rakaman video yang tular di media sosial itu adalah berita palsu. Saya sendiri telah meminta pihak PDRM untuk membuat pemeriksaan ke lokasi dan mendapati tiada kesesakan berlaku di hadapan Pejabat KWSP Sibu sepertimana yang telah tular di media sosial,” jelasnya kepada pemberita semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi oleh pemberita petang tadi juga mengesahkan rakaman video tersebut yang tular di media sosial adalah berita palsu.
“Ya, bertindak atas maklumat pihak kita telah turun ke pejabat KWSP untuk membuat pemeriksaan dan telah mendapati keadaan di kawasan terbabit adalah kosong,” jelasnya.
Tinjauan pemberita di pekarangan pejabat KWSP cawangan Sibu juga telah mendapati tiada berlaku kesesakan orang ramai sepertimana yang tular dalam media sosial.
Terdapat beberapa notis cara permohonan pengeluaran wang caruman dalam akaun 2 KWSP secara atas talian ditampal pada tiang pintu masuk utama Pejabat KWSP cawangan Sibu, selain notis pengumuman penutupan sementara Pejabat KWSP sehingga 14 April ini.
Selain itu, setiap hari ditayangkan iklan di televisyen sudah cukup jelas memberitahu permohonan pengeluaran wang caruman akaun 2 KWSP hanya dijalankan secara atas talian sahaja, dengan orang ramai tidak perlu hadir ke mana-mana Pejabat KWSP.
KWSP pula telah mengeluarkan notis penutupan sementara semua Pejabat KWSP di seluruh negara sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha menggalakkan orang ramai hanya duduk di rumah sahaja.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video menunjukan gelagat orang ramai membanjiri perkarangan Pejabat KWSP Sibu bagi tujuan urusan permohonan pengeluaran wang caruman dari akaun 2 KWSP.