LAWAS: Majikan terutama syarikat swasta digalak merebut peluang memanfaatkan pelepasan cukai dengan menganjurkan hari keluarga dan aktiviti kekeluargaan untuk pekerja.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata galakan sedemikian adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk membina Jiwa MADANI dan bertamadun menerusi penglibatan semua pihak termasuk kementerian, agensi, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.
“Bagi mewujudkan keseimbangan keluarga dan kerja, sukacita saya maklumkan bahawa bagi perbelanjaan mengadakan hari keluarga dan aktiviti kekeluargaan oleh majikan, ia dibenarkan sebagai pelepasan cukai bagi perbelanjaan keraian sepenuhnya.
“Justeru, saya amat berharap lebih banyak pihak swasta akan mengambil peluang ini untuk memperkukuhkan ikatan kekeluargaan dalam kalangan pekerja mereka selain turut sama menyokong serta menganjurkan program seperti sambutan hari keluarga sepanjang November nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan majlis penutup Kembara Kasih KPWKM 2024 di Taman Awam Lawas hari ini.
Nancy menjelaskan pelepasan cukai ini seperti dinyatakan dalam jadual Perbelanjaan Keraian Ketetapan Umum No. 4/2015 (LHDN) kandungan tujuh (7), Perbelanjaan Keraian yang dibenarkan potongan 100 peratus termasuk hari keluarga yang dilaksanakan oleh majikan kepada pekerja.
Katanya, kesihatan mental juga adalah elemen yang perlu dititikberatkan oleh majikan dan pekerja yang baik bermula di rumah melalui kehidupan keluarga yang sejahtera.
“Tema sambutan bulan keluarga adalah Kasih Keluarga Jiwa MADANI telah diterima oleh Perdana Menteri untuk digunakan di semua peringkat.
“Tema ini memberi makna bahawa melalui nilai KASIH iaitu kasih sayang, berakhlak, sihat, berilmu akan melahirkan sebuah keluarga yang harmoni,”katanya.
Nancy memberitahu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan melancarkan Bulan Keluarga pada 9 dan 10 November depan.
Selain itu Kembara Kasih KPWKM 2024 telah berjaya menyantuni 12,000 rakyat Sarawak secara langsung daripada program itu.
Ini termasuk mereka yang hadir dan menyertai aktiviti atau mendapatkan perkhidmatan yang disediakan melalui kaunter-kaunter yang dibuka di lokasi acara.
“Untuk makluman, sepanjang kembara Kasih selama lapan hari ini sebanyak 27 aktiviti telah berjaya dilaksanakan,” katanya.
Oleh ADENG EDRUS