KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengusulkan kepada Kementerian Kewangan agar meningkatkan peruntukan untuk Program Jualan Rahmah Madani (PGRM) dalam Belanjawan 2025.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program tersebut merupakan inisiatif jualan penjimatan yang menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus, sangat popular dan diterima baik oleh rakyat.
Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk memperluaskannya di kawasan pasar mulai Oktober depan, selain di kawasan bersasar.
“Ada juga aduan daripada peniaga bahawa program Jualan Rahmah Madani ini mengganggu pasaran dan boleh menyebabkan herotan kepada pasaran.
“Jadi, kita akan melaksanakan secara bersasar dengan melihat beberapa faktor. Contohnya, jika terdapat kecenderungan kenaikan harga di satu lokasi, itu adalah salah satu kriteria yang akan dipertimbangkan.
“Kedua, jika kawasan tersebut mengalami peningkatan harga barangan disebabkan kos pengangkutan yang tinggi, itu juga merupakan kriteria yang kita gunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN 2024 Peringkat Zon Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Armizan menjelaskan bahawa dalam melaksanakan PGRM, pihaknya juga prihatin terhadap rungutan dan pandangan peniaga yang khuatir akan gangguan atau herotan pasaran.
Untuk rekod, KPDN telah diberikan RM150 juta untuk Program Jualan Rahmah Madani 2024 dan telah melaksanakannya di lebih 5,000 lokasi di semua 222 kawasan parlimen.
Oleh Mohd Neenatul Aizal