MELAKA, 24 Oktober: Kerajaan bersedia menanggung kenaikan kos subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah hingga RM45 bilion setahun susulan lonjakan harga minyak mentah dunia bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter meskipun harga minyak mentah antarabangsa kini mencecah antara AS$120 hingga AS$130 setong.
Beliau berkata langkah itu bertujuan melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana daripada kesan kenaikan harga bahan api dalam pasaran global.
“Kalau harga minyak satu tong pagi ini sudah melonjak (dan berterusan) kos yang akan ditanggung oleh kerajaan akan mencecah antara RM42 bilion hingga RM45 bilion satu tahun.
“Kalau kita naik harga minyak ikut pasaran, tiap-tiap hari kena tambah RM2, RM3, minimum RM5 tiap-tiap hari. Bayangkan kalau penggunaan itu lebih, hantar anak ke sekolah, dia sendiri kerja, itu tiap-tiap hari RM10 … lebih baik kerajaan terbeban daripada bebankan rakyat, ibu bapa kita,” kata beliau ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 di Kompleks Sukan Hang Jebat, Krubong, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan timbalannya Datuk Fuziah Salleh.
Anwar berkata harga minyak mentah dunia telah meningkat hampir dua kali ganda berbanding kira-kira AS$70 setong sebelum ini, sekali gus menyebabkan banyak negara berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan memilih untuk terus menanggung sebahagian besar kos subsidi bahan api bagi mengelakkan rakyat berdepan kenaikan harga petrol yang ketara sekiranya harga diapungkan mengikut pasaran.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri turut menolak pandangan bahawa pemberian subsidi yang tinggi menyebabkan rakyat terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan, sebaliknya menegaskan dasar itu perlu mengambil kira realiti kehidupan golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata kerajaan akan terus mengimbangi usaha memacu pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab memastikan kemajuan negara dapat meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kejayaan ekonomi negara bukan sahaja diukur berdasarkan pertumbuhan, pelaburan dan perdagangan, tetapi juga melalui manfaat nyata yang meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat.
Anwar berkata usaha memacu pertumbuhan ekonomi termasuk menerusi penguasaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor perlu seiring dengan usaha menangani keperluan asas rakyat, khususnya kos sara hidup, pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan.
“Kita tidak bicara hanya angka dan statistik tetapi kita bicara soal manusia.
“Pendekatan kerajaan berteraskan prinsip menggapai di langit, mengakar di bumi, yang menuntut negara terus meneroka bidang ilmu dan teknologi baharu tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan, akhlak, budaya serta kesejahteraan rakyat pada peringkat akar umbi,” kata beliau. – Bernama




