LIMBANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memberi perhatian isu buli siber terutama melibatkan wanita dan kanak-kanak termasuk menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa terlibat.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, meskipun tugas itu tanggungjawab kementerian lain, KPWKM bersama agensi berkaitan turut memantau bagi memudahkan tindakan membantu mangsa sekiranya kejadian buli siber berlaku.
Beliau berkata isu buli siber juga sudah dibincangkan dalam Majlis Sosial Negara dan kementerianya berperanan untuk memberi perkhidmatan terbaik berdasarkan keperluan bersesuaian melalui maklumat dan nasihat berkaitan kepada mangsa dan keluarga.
“Sebenarnya buli siber ini walaupun dia bukan dibawah kita, tapi kita turut memantau apabila ia melibatkan wanita dan kanak-kanak. Isu ini memang sudah kita bincang dalam Majlis Sosial Negara dan banyak kementerian bersama dengan kita.
“Keperluan untuk kementerian kami adalah untuk memberi kaunseling kepada mangsa terlibat,” katanya ketika ditemui media selepas Program Ramah Mesra KPWKM di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Limbang hari ini.
Turut sama ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Nancy berkata sesi kaunseling akan dijalankan apabila mangsa dan keluarga bersedia untuk diberi perkhidmatan kaunseling bagi membantu meredakan tekanan yang dihadapi mangsa.
Katanya, KPWKM melihat isu buli siber semakin membimbangkan berikutan banyak kes berlaku.
Terdahulu seorang doktor pakar yang ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah, pada 29 Ogos lalu, didakwa disebabkan tindakan bunuh diri, berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.
Oleh ADENG EDRUS