SARIKEI: Seorang lelaki warga emas berumur 61 tahun berjaya diselamatkan oleh isterinya dan orang awam selepas terjatuh ke dalam tasik di Taman Tasik Sarikei, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.55 malam.
“Respons dengan panggilan kecemasan, komander operasi PBK I (KUP) Haron Jenai bersama tiga anggota bomba bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati mangsa telah terbaring di tepi tasik.
“Pasukan bomba membuat pemeriksaan terhadap mangsa dan didapati masih bernafas,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Tambahnya, anggota bomba menggangkat mangsa menggunakan pengusung dan dihantar ke unit kecemasan Hospital Sarikei.
“Maklumat dari isteri mangsa mengatakan mangsa terjatuh ke dalam tasik dan berjaya diangkat olehnya dan dibantu oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Khidmat khas menghantar mangsa ke hospital untuk rawatan selanjutnya selesai pada jam 12.15 tengah malam,” katanya.
Oleh Earl Anek
Gambar
DIHANTAR KE HOSPITAL….Pasukan bomba menghantar mangsa ke hospital untuk rawatan selanjutnya. Foto BBP Sarikei