BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor membuat laporan polis semalam selepas menerima panggilan palsu berkenaan kes kebakaran rumah yang dikatakan berlaku di Julau malam kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin (gambar) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan palsu sekitar jam 12.15 tengah malam.
“Respons dengan panggilan kecemasan tersebut, sepasukan bomba diketuai oleh komander operasi PBK II (KUP) Ahmad Jais Ahad bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada jam 1.08 pagi, didapati tiada sebarang kesan kebakaran di sekitar kawasan yang dilaporkan oleh pengadu.
“Komander operasi menghubungi pengadu sebanyak tiga kali, namun tidak diangkat dan pengadu tidak memberi kerjasama,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, komander operasi seterusnya menghubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak untuk kebenaran bertolak balik ke BBP Bintangor.
“Pihak kami sedang membuat laporan polis berkenaan panggilan palsu tersebut,” katanya.