KUCHING: Bandar raya Kuching dipilih sebagai tuan rumah sambutan perayaan Hari Lahir ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bermula 10 hingga 13 Oktober ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap menteri bertanggungjawab bagi sambutan itu, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata terdapat tujuh acara utama telah disusun sempena sambutan nanti.
Katanya, sambutan dimulakan dengan majlis kesyukuran di Masjid Jamek, Kuching pada 10 Oktober pada 6.00 petang
”Acara kedua iaitu khutbah khas akan diadakan pada hari seterusnya (11 Oktober) pada 6.00 petang di masjid seluruh negeri.
”Sementara itu, majlis kesyukuran agama-agama lain akan diadakan pada hari sama bermula 8 malam di Sarawak Chamber, Riverside Majestic Kuching dengan anggaran 750 tetamu hadir pada majlis itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-78 Yang Di-Pertua Negeri Sarawak 2024 di salah sebuah hotel, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, istiadat perbarisan dan rapat raksasa akan diadakan di Padang Merdeka, Kuching pada keesokan paginya (12 Oktober) bermula jam 8 pagi dengan penglibatan 78 kontinjen dari pelbagai kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun, persatuan, pertubuhan, swasta, institusi pengajian tinggi dan sekolah.
Katanya, program pada hari itu akan diteruskan dengan Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Sarawak di Astana Negeri bermula 11.30 pagi.
”Pada sebelah malam, Majlis Jamuan Negeri akan diadakan di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak bermula 8 malam.
”Acara yang ketujuh iaitu Majlis Jamuan Teh pula akan diadakan pada 13 Oktober bermula 10 pagi di Sarawak Chamber, Riverside Majestic Kuching bersama golongan anak-anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) dan asnaf dari pelbagai kaum menerima sumbangan daripada TYT dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi,” jelasnya.
Beliau berkata, acara pada hari tersebut juga akan diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, anggota Kabinet negeri dan tetamu kenamaan lain.
Untuk makluman, katanya, sambutan perayaan itu akan disiarkan secara langsung di TVS saluran 122 Astro dan MyTV serta di Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Youtube, UKAS Channel.
Oleh RYNNA SHA’ERRA