(Kemaskini)
SARIKEI: Seorang pelajar remaja lelaki ditemukan mati lemas ketika mandi selepas menyiapkan kajian bersama tiga lagi rakan di kawasan Air Terjun Wong Ruan, Ulu Bayong, Ulu Sarikei di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superintendan Aswandy Anis berkata pelajar Sekolah Tinggi Sarikei itu, Alex Lau Hui Ping, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Sarikei.
Katanya mangsa bersama tiga rakan sekolahnya telah datang ke air terjun tersebut untuk menjalankan kajian pada jam 11 pagi dan selepas menyelesaikan kerja, mangsa kemudian terjun untuk mandi dan terus tenggelam.
“Rakan mangsa kemudian melaporkan kejadian itu kepada penduduk rumah panjang berhampiran untuk mendapatkan bantuan pada sekitar pukul 11.30 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.30 pagi tadi mengenai kejadian tersebut.
Katanya, anggota bomba dikerahkan ke lokasi sejurus selepas panggilan diterima, namun mangsa, ditemui oleh pasukan bomba sukarela sebelum ketibaan pihak bomba.
“Kami menerima laporan tentang kejadian lemas ini sekitar jam 11.30 pagi. Pasukan bomba bergerak ke lokasi pada jam 12.23 tengah hari dan tiba di tempat kejadian pada jam 1.25 petang.
“Bagaimanapun, mangsa telah dijumpai terlebih dahulu oleh pasukan Bomba Sukarela Lubok Lemba sekitar jam 12.03 tengah hari, dan pada jam 1.49 petang, pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, mangsa ditemui oleh anggota Pasukan Bomba Sukarela Lubok Lemba, Branddon Lamada, yang berjaya mengesan mayat mangsa pada kedalaman tiga meter di lokasi kejadian.
“Mayat kemudian dibawa ke tebing dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Operasi menyelamat melibatkan pelbagai agensi, termasuk 12 anggota Pasukan Bomba Sukarela Lubok Lemba, dua anggota Kementerian Kesihatan (KKM) dan lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 2.00 petang selepas mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tiga lagi mangsa dilaporkan selamat dalam insiden tersebut.