KUALA LUMPUR: Cabang penerbangan tambang rendah Singapore Airlines, Scoot, menyambung kembali penerbangan ke tiga destinasi di Malaysia, iaitu Kuching, Ipoh dan Pulau Pinang masing-masing mulai 5 Jun 12 Jun dan 14 Jun.
Dalam satu kenyataan semalam, Scoot berkata, pihaknya telah melaksanakan beberapa langkah untuk melindungi kesihatan penumpang dan anak kapal.
“Syarikat penerbangan ini akan terus meningkatkan prosedur operasinya dan memperkenalkan langkah-langkah pencegahan tambahan untuk membolehkan pelanggan melakukan perjalanan dengan keyakinan lebih tinggi.
“Scoot sangat menggalakkan semua pelanggan untuk tiba di lapangan terbang lebih awal bagi memastikan mempunyai masa yang cukup untuk prosedur pra-penerbangan tambahan,” katanya.
Syarikat penerbangan itu juga telah melanjutkan tawaran pertukaran tarikh percuma untuk sekali bagi semua tempahan yang dibuat mulai semalam hingga akhir Jun 2020 sekiranya pelanggan perlu mengubah rancangan perjalanan mereka setelah membuat tempahan.
“Selain itu, semua pelanggan yang membuat tempahan pada atau sebelum 15 Mac 2020 untuk penerbangan yang berlepas antara 23 Januari dan 31 Julai 2020 dibatalkan, layak mendapat dua pilihan pembayaran balik – pengembalian wang 100 peratus melalui kaedah pembayaran asal atau 120 peratus bayaran balik secara baucar Scoot dengan tempoh sah 12 bulan.
“Pelancong yang memasuki Malaysia (termasuk warganegara Malaysia, bukan warganegara Malaysia dan Penduduk Tetap) juga diingatkan untuk mengikuti perkembangan dasar terkini mengenai kuarantin yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia mulai 10 Jun 2020,” kata syarikat penerbangan itu. Ketua Pegawai Eksekutif Campbell Wilson berkata, Scoot bekerjasama rapat dengan pengawal selia dan pakar kesihatan untuk melaksanakan langkah komprehensif yang dipertingkatkan untuk memastikan piawaian kebersihan yang tinggi. – Bernama