LUBOK ANTU: Dua kawasan sungai dekat sini telah dipantau oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu bersempena dengan penugasan Op Ramah Monsun Barat Daya (MBD) dan cuaca panas, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lubok Antu, Leftenan (PA) Desem Samuel berkata, dua kawasan sungai yang dipantau oleh para anggota pasukan My Aspa- C agensi melibatkan Kampung Panjai Ruai dan Kampung Pasir.
Katanya, pemantauan bertujuan menilai risiko banjir di dua kawasan sungai berkenaan meskipun cuaca negara ketika ini sudah beralih ke MBD dan cuaca panas.
“Sepanjang rondaan Op Ramah berkenaan, pasukan My Aspa-C APM Lubok Antu mendapat kawasan tahap air sungai di dua perkampungan berkenaan berada dalam keadaan terkawal.
“Bagaimanapun, rondaan Op Ramah akan tetap diteruskan oleh para anggota kami di sungai dalam dua penempatan itu termasuk di kawasan-kawasan lain bagi mengesan risiko banjir,” katanya.
Melalui pelaksanaan Op Ramah berkenaan, katanya, pihak APM Lubok Antu menasihati penduduk kampung di bawah pentadbiran agensinya agar bertindak mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang MBD.
“Penduduk digalak agar tidak meredah banjir yang berlaku dalam penempatan masing-masing demi mengelak berlaku kejadian tidak diingini seperti gigitan serangga berbisa dan sebagainya.
“Jika berlaku kenaikan paras atau limpahan air sungai di penempatan anda maka sila hubungi kami di talian 083-584639 atau talian kecemasan 999 bagi tujuan pemantauan dan tindakan lanjut,” ujarnya lagi.
Oleh Valentine Ngumbang