SIBU: Kira-kira sebanyak 100,000 buku disediakan kepada orang ramai pada pesta buku bermula hari ini hingga 29 September ini.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai berkata, inisiatif itu bertujuan memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk membaca.
“Apabila membaca pada peranti, anda sering perlu memaksa diri anda untuk kekal fokus, tetapi membaca buku fizikal jauh lebih selesa untuk mata anda,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian pesta buku di perpustakaan awam Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), hari ini.
Penganjuran program tersebut adalah inisiatif MDLBS dengan kerjasama Big Bad Wolf Books.
Sempurai berkata, penganjuran program tersebut memainkan peranan penting sebagai usaha memupuk generasi pembaca baharu.
“Dalam era digital ini, e-buku mudah diakses melalui telefon bimbit dan komputer.
“Walaupun e-buku menawarkan cara moden untuk membaca, buku fizikal masih menyimpan pengalaman unik dan berharga, sama seperti cara kami membaca pada masa lalu,” katanya.
Sementara itu, Eksekutif Pembangunan Perniagaan Kanan Big Bad Wolf Books, Jeremy Ooi berkata, ini adalah pesta buku pertama mereka yang bertujuan mempromosikan amalan minat membaca dalam kalangan masyarakat.
Oleh Akun Giman