SIBU: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita berusia 24 tahun dan anaknya berumur setahun dalam kebakaran sebuah kedai motosikal di Jalan Lanang, petang tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dihantar ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 2.57 petang.
Katanya, pasukan dari BBP Sungai Merah turut dikerahkan untuk membantu operasi pemadaman.
“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan bahawa api telah memusnahkan sepenuhnya bahagian bawah premis itu.
“Kami berjaya menyelamatkan dua mangsa yang terperangkap di tingkat dua iaitu seorang wanita berusia 24 tahun dan bayinya berusia setahun,” katanya dalam kenyataan media.
Katanya, setakat jam 5 petang, pasukan bomba masih berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja pemadaman sisa-sisa kebakaran.
“Kedua-dua premis terjejas adalah kedai motosikal dan mengalami kerosakan 100 peratus di tingkat bawah.
“Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.