KUCHING: Jabatan Perhutanan Sarawak (JHS) bekerjasama dengan Cahya Mata Sarawak (CMS) bagi memperkukuh komitmen kedua-dua pihak terhadap usaha pemulihan melalui program penanaman pokok di Hutan Simpan Sabal.
Melalui inisiatif bersama ini, 2,500 anak pokok spesies asli bernilai tinggi seperti belian, meranti, kapur dan engkabang telah ditanam dengan penyertaan seramai 150 orang wakil JHS, CMS, pensyarah dan pelajar UiTM serta masyarakat setempat, baru-baru ini.
Aktiviti penanaman oleh CMS ini dijalankan selaras dengan tanggungjawab sosial korporat syarikat yang turut menyokong Kempen Penghijauan Malaysia melalui 100 Juta Penanaman Pokok serta Kempen Menghijaukan Sarawak yang diketuai oleh JHS.
Wakil JHS, Rohanie Bohan dalam ucapannya berkata melalui kempen itu, sasaran 35 juta tanaman pokok setahun.
“Yang lebih penting usaha ini adalah sejajar dengan percubaan kami untuk memerangi perubahan iklim yang telah muncul sebagai salah satu masalah terbesar dihadapi manusia hari ini.
“Sebagai barisan hadapan Kempen Menghijaukan Sarawak, JHS amat menghargai sumbangan CMS dan kami berbesar hati membawa penyertaan daripada badan korporat dan orang ramai untuk memelihara alam sekitar,” katanya.
Program ini turut dihadiri oleh Pengurus Kanan Cahya Mata, Bryan Paul.