LAWAS: Kerajaan Sarawak terus meletakkan bidang pendidikan sebagai pelaburan terpenting dalam meneruskan pembangunan di wilayahnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan, kerajaan Sarawak telah menggunakan sejumlah peruntukan besar untuk memastikan bidang pendidikan di Sarawak dapat dipertingkatkan.
“Kita tahu pendidikan adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, namun kerajaan negeri terlibat disebabkan komitmen kita untuk mempastikan pendidikan dapat dipertingkatkan,” katanya pada perasmian Pejabat Pendidikan Daerah Lawas di Banting baru-baru ini.
Awang Tengah berkata kerajaan Sarawak sedang giat membangunkan lima sekolah antarabangsa di samping memainkan peranan dalam pembangunan modal insan.
Ini katanya, terutama dapam Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
“Kita juga berkolaborasi dengan universiti tempatan dan antarabangsa. Sarawak berhasrat untuk menyediakan pendidikan pengajian tinggi secara percuma di universiti milik Sarawak kepada anak-anak Sarawak yang layak untuk melanjutkan pendidikan tinggi,” katanya.
Awang Tengah yakin usaha melahirkan ramai anak Sarawak yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran akan dapat membantu membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat di Sarawak.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong; Pengarah Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA), Datu Ubaidillah Latip, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa; ADUN Sindumin, Sabah Dr Yusuf Yakop dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Lawas, Kadir Salleh.
Oleh ADENG EDRUS