KUCHING: Machan FC secara rasmi menarik diri daripada Liga A1 Semi Pro Malaysia akibat kekangan dana dan kos penerbangan yang semakin meningkat.
Presiden Machan FC, Azizie Fauzi berkata, sepanjang 12 perlawanan yang dilalui dalam tempoh hampir enam bulan, Machan FC telah berbelanja sekitar RM800,000 menggunakan dana sendiri.
Katanya, kos pengangkutan menjadi cabaran terbesar, kerana setiap perlawanan di tempat lawan memerlukan perbelanjaan mencecah RM35,000.
“Kami telah berusaha untuk memohon dana dari Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, namun permohonan kami tidak dapat dipenuhi kerana bajet kementerian tidak merangkumi penajaan untuk kelab-kelab Liga A1 yang bersifat semi pro,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook pasukan tersebut, hari ini.
Mengulas lanjut, Azizie menjelaskan bahawa kekangan kewangan memaksa Machan FC menarik diri dari liga, walaupun pihak pengurusan telah berusaha sebaik mungkin.
Beliau turut memohon maaf kepada para pemain dan penyokong, serta menyatakan bahawa visi kelab untuk mengetengahkan bakat tempatan di peringkat kebangsaan tidak dapat diteruskan buat masa ini.
“Kami bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong perjuangan pasukan Machan FC selama ini,” katanya.
Untuk rekod, Machan FC, satu-satunya pasukan dari Sarawak yang bertanding dalam liga tersebut, mewakili Zon Tengah Sarawak di bawah Parlimen Kanowit dan menggantikan slot yang ditinggalkan oleh Sarawak United pada musim lalu.
Penarikan diri Machan FC daripada Liga A1 Semi Pro Malaysia menandakan satu lagi cabaran buat pasukan bola sepak tempatan yang menghadapi masalah kewangan, khususnya bagi pasukan yang beraksi di peringkat semi pro.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Kredit foto Machan FC