BINTULU: Dataran Esplanade Bintulu menjadi tumpuan utama hari ini apabila lebih 3,000 peserta mewakili 61 kontinjen memeriahkan perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat Bahagian Bintulu.
Acara itu dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Johan Qari dan Qariah 2023, diikuti dengan bacaan selawat dan doa.
Perarakan sepanjang tiga kilometer itu dimulakan sebaik ketibaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.
Perarakan disertai pelbagai agensi kerajaan, jabatan, sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dengan persembahan nasyid turut memeriahkan suasana.
Dalam program itu, Mohd Zulhilmi Azman dinobatkan sebagai Tokoh Murid Islam Cemerlang Lelaki untuk peperiksaan SPM 2023, manakala Damia Shafiqah Abdul Irham menerima anugerah bagi kategori perempuan.
Untuk peperiksaan STPM 2023, Muhammad Syarul Amri Hishamudin diumumkan sebagai Tokoh Murid Islam Lelaki, dan Nur Amalina Ripan sebagai Tokoh Murid Islam Perempuan.
Dalam pertandingan sepanduk, Sekolah Kebangsaan Jepak dinobatkan juara kategori sekolah rendah, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) memenangi kategori sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, sementara Masjid Darul Falah Batu 10 meraih kemenangan dalam kategori masjid, surau, dan JKK kampung.
Pertandingan perarakan menyaksikan Polis Diraja Malaysia sebagai juara kategori badan beruniform dengan markah 86, manakala Persatuan Kebajikan Islam Bintulu (Pekida) menjuarai kategori persatuan dengan 81 markah.
Kedua-dua pemenang menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan piala.
Sambutan Maulidur Rasul ini bertujuan untuk memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW. dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam di Bintulu.