10 penerima terima geran MRP RM74,000 di Meradong

Facebook
WhatsApp
DING Kuong Hiing bergambar bersama penerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Bintangor, hari ini. Foto Pusat Khidmat Penyandang ADUN Meradong

BINTANGOR, 31 Oktober: Sebanyak 10 kelab, persatuan dan institusi pendidikan di Daerah Meradong menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM74,000 bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan serta memperkukuh pembangunan pendidikan setempat.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penyaluran geran berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan beliau dalam membantu pertubuhan tempatan melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Ini merupakan komitmen berterusan saya dalam menyokong aktiviti kelab dan persatuan serta memperkasa sektor pendidikan demi pembangunan masyarakat dan kemajuan Daerah Meradong,” katanya ketika ditemui media kelmarin.

Dalam pada itu, Ding turut menekankan kepentingan kesinambungan pembangunan infrastruktur di Meradong, khususnya bagi memastikan projek yang dirancang dapat diteruskan.

“Oleh itu, perlulah mempunyai wakil rakyat GPS agar dana pembangunan infrastruktur di Daerah Meradong diteruskan kerana kawasan ini pernah ketinggalan dalam pembangunan selama tiga penggal,” katanya.

DATUK Ding Koung menyerahkan geran MRP kepada penerima. Foto Pusat Khidmat Penyandang ADUN Meradong

Tambahnya, beberapa projek pembangunan telah mendapat kelulusan menerusi cadangan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), termasuk menaik taraf kawasan persisiran sungai dan kemudahan awam.

“Banyak projek telah diluluskan melalui cadangan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), iaitu menaik taraf tebingan sungai, Jalan Utama Kilang menuju ke Tanjung Genting, Taman Rekreasi Bintangor, Jalan Kampung Rancak ke Bin Baharu dan Pasar Sentral Bintangor Baharu,” katanya.

Ding berkata, beberapa Projek Rakyat yang mendapat kelulusan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Beberapa Projek Rakyat yang mendapat kelulusan Premier Sarawak juga amat penting, iaitu pembinaan Pusat Hemodialisis Tulai, Kolam Renang Bintangor dan Anjung Usahawan yang akan dibina bagi menyokong aktiviti perniagaan belia tempatan,” katanya.

Beliau berharap pembangunan yang dirancang dapat diteruskan dalam tempoh lima tahun akan datang supaya masyarakat Meradong memperoleh manfaat daripada peningkatan kemudahan awam, infrastruktur dan peluang ekonomi.

Oleh Earl Anek