SIMANGGANG: Kira-kira 1,000 jemaah mengimarahkan majlis kesyukuran sempena sambutan perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024, dekat sini malam inj.
Majlis yang diadakan di Masjid Bandar Sri Aman itu turut diserikan dengan kehadiran Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar bersama isteri, Puan Sri Fatimah Mohamad Iskandar, mewakili Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel yang mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Majlis kesyukuran tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak, dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Turut diadakan ceramah khas yang disampaikan oleh Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin.
Turut diadakan majlis makan malam bersama menteri -menteri bukan Islam bersama ketua kaum dan ketua asyarakat (KMKK) serta rakyat sekitar Sri Aman.
Majlis kesyukuran ini dianjurkan oleh kerajaan negeri dalam menzahirkan kesyukuran diatas nikmat sambutan Hari Malaysia selain menyuburkan semangat cinta akan negeri dan negara.
Dalam pada itu, Yang di-Pertua Negeri dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka menghadiri Perhimpunan Hari Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan, Sri Aman, pagi esok.
Oleh ADI SAFARMAN