KUCHING: Sarawak terus komited untuk maju bersama Malaysia demi negara yang lebih progresif dan makmur.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kejayaan yang diraih oleh Sarawak semestinya akan memberi manfaat kepada seluruh Malaysia.
“Sejak pembentukan Malaysia 61 tahun lalu melalui Perjanjian Malaysia 1963, telah banyak pencapaian yang dikecapi bersama dalam sektor seperti ekonomi, pendidikan dan kemajuan infrastruktur.
“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pengembalian kuasa autonomi dalam bidang-bidang penting seperti pendidikan dan pembangunan infrastruktur.
”Ini termasuklah Pelabuhan Bintulu yang kini menjadi milik kerajaan Sarawak, hasil daripada usaha bersama mencapai persetujuan melalui meja rundingan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Malaysia ke-61.
Menurut beliau lagi, pengembalian kuasa autonomi kepada kerajaan Sarawak itu juga menjadi bukti bahawa Sarawak sentiasa diiktiraf sebagai rakan sekutu dalam Malaysia.
”Kemajuan memerlukan kita bergerak bersama, berpandukan prinsip keadilan dan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, serta laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” tambahnya.
Dalam pada itu, katanya semua pihak perlu memelihara keharmonian dan hubungan erat yang telah dibina seperti mengadakan sesi dialog terbuka bagi mencapai kata sepakat bersama.
Beliau berkata tema sambutan Hari Malaysia pada tahun ini iaitu ’Jiwa Merdeka’ tidak hanya mengingatkan bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga penjajahan minda.
”Kita harus bebas daripada pengaruh yang menyimpang dari nilai budaya timur yang kita pegang teguh,” tambahnya.