TOKYO: Cristiano Ronaldo disahkan mengalami jangkitan virus dan akan terlepas aksi pembukaan bersama Al Nassr dalam saingan Liga Juara-Juara Asia minggu ini menentang Al Shorta dari Iraq.
Pemain veteran Portugal itu dalam misi memburu gelaran juara Asia bagi menambah koleksi kejuaraan dalam kerjayanya apabila kejohanan bermula, esok.
“Kapten Al Nassr, Cristiano Ronaldo, tidak berasa sihat hari ini dan selepas pemeriksaan dijalankan, dia disahkan mengalami jangkitan virus,” kata kenyataan kelab di laman media sosial X, hari ini.
“Doktor pasukan mengesahkan dia perlu berehat dan berada di rumah. Oleh itu, dia tidak akan menyertai pasukan ke Iraq hari ini. Kami berharap kapten kami akan segera pulih.”
Bekas penyerang Real Madrid dan Manchester United itu menyaksikan percubaan pertamanya memburu gelaran Asia bersama kelab Arab Saudi, Al Nassr berakhir dengan kekalahan di tangan Al Ain pada aksi suku, awal tahun ini.
Dengan kejohanan kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara Asia Elite, Al Nassr dan pasukan lain dari Arab Saudi akan menjadi ancaman utama selepas berbelanja besar dalam dua tahun terakhir untuk mendapatkan pemain seperti Ronaldo dan Neymar.
Penyerang England, Ivan Toney adalah nama besar terbaharu yang berpindah dari Eropah ke Arab Saudi apabila dia meninggalkan Brentford untuk menyarung jersi Al Ahli bulan lepas dengan nilai lebih daripada AS$45 juta (RM193.5 juta). – AFP