KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat(KPWKM) peringkat Persekutuan untuk bersama mengatasi masalah gelandangan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu nanti adalah untuk membangunkan pusat-pusat bantuan selain menyediakan khidmat kaunseling bagi golongan gelandangan ini.
Katanya, kerajaan Sarawak akan memberi petuntukan dan sokongan sosial untuk menjayakan usaha ini.
“Saya telah mengarahkan daripada peringkat Sarawak untuk sama-sama dengan persekutuan bagi melihat masalah gelandangan yang berkeliaran di bandar-bandar.
“Jadi kita akan membantu mereka untuk membangunkan pusat bagi mereka mendapat bantuan dan kita akan galakkan mereka untuk tidak tidur di jalanan kerana kita mempunyai pusat bantuan.
“Keduanya, sebahagian mereka (gelandangan) ini sebenarnya serba salah. Anak mereka ada yang mahu membantu, tetapi mereka tidak bersependapat, jadi mereka lari.
“Jadi ini psikologi, oleh itu, Dato Sri Nancy Shukri (Menteri KPWKM) perlu sediakan banyak kaunseling supaya kita dapat kurangkan masalah gelandangan. Kami di Sarawak akan memberi peruntukan dan sokongan sosial dalam bidang ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kembara Kasih KPWKM, di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.
Pelepasan konvoi Kembara KPWKM ini telah disempurnakan oleh Abang Johari di Tebingan Kuching.
Program tersebut dijadualkan berlangsung selama 8 hari, bermula hari ini hingga 22 September depan dan akan melalui beberapa kawasan di sekitar negeri Sarawak.
Program ini turut melibatkan empat aset dan tujuh agensi di bawah KPWKM untuk menawarkan perkhidmatan mereka kepada masyarakat di kawasan yang terlibat.
Sementara itu, pada majlis sama, turut dilancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Bergerak sebagai pusat rujukan khusus untuk mendapatkan perkhidmatan psikologi.
PSSS yang baru dirasmikan merupakan yang pertama di Sarawak, menawarkan perkhidmatan psikologi termasuk sesi bimbingan dan kaunseling, terapi, intervensi dan saringan kesihatan mental.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Oleh SHAHRUL QAIZAT