LUNDU: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba lolos sempadan negara di Biawak, Lundu, hari ini.
Markas 1 Divisyen dalam satu kenyataan berkata Sub Unit Formasi Divisyen Pertama Infantri telah melaksanakan rondaan bersama di kawasan keselamatan Biawak sekitar 10.30 pagi.
Menurutnya, tangkapan telah dibuat berdekatan lorong tikus iaitu jarak lebih kurang 150 meter dari sempadan Indonesia.
”Kesemua PATI kemudian ditahan oleh anggota TDM dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) yang sedang melaksanakan penugasan rondaan.
”Hasil daripada penahanan dan pemeriksaan terhadap empat orang PATI dalam lingkungan umur 22 hingga 32 tahun tersebut mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai.
”Anggaran nilai keseluruhan barangan yang diperiksa adalah berjumlah RM4,037 iaitu melibatkan wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kesemua PATI kemudiannya dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa.
Untuk rekod, bermula dari Januari hingga ke hari ini, sebanyak 24 kali pengusiran melibatkan seramai 172 orang PATI telah direkodkan bagi tahun ini.