BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Sri Tiong King Sing memberi sumbangan kewangan kepada mangsa kebakaran rumah panjang Rumah Nura Buling di Sungai Teban, Labang, yang terbakar pada 12 September lalu.
Menurut kenyataan Pusat Khidmat Bintulu, pada lawatan tersebut, beliau mendengar keperluan mangsa dan menyampaikan bantuan berjumlah RM43,000 untuk menyokong pemulihan mereka.
Katanya, sebanyak RM20,000 disumbangkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Nura, manakala setiap 23 isi rumah yang terjejas menerima RM1,000 bagi membantu mereka membeli barangan keperluan asas serta bekalan sekolah seperti pakaian seragam, alat tulis dan buku.
“Sumbangan ini disampaikan oleh pegawai khas beliau, Steven Kong Kai Seng.
“Selain itu, Pusat Khidmat Bintulu turut mendermakan beberapa kerusi roda kepada penduduk rumah panjang yang memerlukan, sebagai sebahagian daripada usaha membantu mereka pulih daripada bencana tersebut,” katanya.
Dalam lawatan itu, Tiong turut menyatakan kebimbangannya terhadap keadaan kawasan rumah panjang yang sering dilanda banjir dan mempunyai keadaan tanah yang kurang stabil, menjadikannya tidak lagi sesuai untuk didiami.
Oleh itu, pihak JKKK Rumah Nura akan mengadakan mesyuarat bagi merangka pelan penempatan sementara untuk mangsa kebakaran.
Pusat Khidmat Bintulu juga bersedia untuk memberi sokongan penuh bagi membantu mangsa kembali ke kehidupan normal secepat mungkin.