SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii menyuarakan kebimbangan berkenaan kerosakan peralatan di Kolam Renang Sarikei.
Katanya, daripada empat pam air yang ada, hanya satu sahaja yang berfungsi.
“Saya menggesa agar pihak berwajib segera memperbaiki kerosakan tersebut supaya Kolam Renang Sarikei dapat beroperasi sepenuhnya seperti biasa.
“Peralatan dan mesin di kolam renang ini sudah terlalu lama dan uzur. Pada asalnya, terdapat empat pam air yang beroperasi secara bergilir-gilir, namun kini hanya satu sahaja yang masih berfungsi, manakala tiga lagi telah rosak sejak sekian lama,” katanya ketika dihubungi media, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, pam air yang tinggal kini beroperasi dengan beban yang tinggi.
“Jika ia juga mengalami kerosakan, kolam renang akan terpaksa ditutup. Oleh itu, perhatian segera perlu diberikan bagi memastikan pembaikan dapat dilakukan agar kolam renang ini terus beroperasi,” katanya.
Dalam pada itu, pada Khamis lalu, Kapitan Ling Dien Yong dan pasukan Pusat Khidmat Repok selaku wakil Tiong Sii telah melakukan lawatan ke kolam renang tersebut untuk memahami dan mendengar masalah yang dihadapi oleh pihak pengurusan.
Mereka dan pihak pengurusan kolam renang telah memeriksa bilik mesin.
Pihak pengurusan kolam renang turut memberikan penjelasan terperinci mengenai keadaan semasa, serta menjalankan ujian sampel terhadap kualiti air.
Oleh Earl Anek