JAKARTA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Badan Pengawas Ubat dan Makanan (BPOM) meluluskan penggunaan vaksin Mpox di Indonesia, menurut Kementerian Kesihatan.
Vaksin-vaksin ini bukan eksperimen dan boleh diberikan semasa kecemasan kesihatan, kata jurucakap kementerian Mohammad Syahril, dalam satu kenyataan hari ini, lapor ANTARA.
Beliau membuat kenyataan ini sebagai respons kepada dakwaan bahawa vaksin Mpox terkini adalah bersifat eksperimen, termasuk ada yang menyeru orang ramai untuk menolaknya.
“Vaksin mpox menerima kelulusan Senarai Penggunaan Kecemasan (EUL) daripada WHO dan Kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) daripada BPOM, yang bermaksud ia diluluskan untuk digunakan dalam situasi kecemasan,” katanya.
Beliau menambah bahawa Suruhanjaya Kebangsaan bagi Implikasi Buruk Selepas Imunisasi (Komnas KIPI) memantau keselamatan dan memastikan manfaat pemberian vaksin untuk mencegah penularan virus Mpox (MPXV).
Vaksin Mpox yang digunakan di Indonesia ketika ini adalah Modified Vaccinia Ankara-Bavarian Nordic (MVA-BN).
Vaksinasi mpox menggunakan vaksin MVA-BN diberikan sejak 2023, selepas kes mpox disahkan di Indonesia.
Syahril merujuk kepada dokumen WHO, “Weekly Epidemiological Record: Smallpox and Mpox (Orthopoxviruses) Vaccine Position Paper”, diterbitkan pada 23 Ogos, yang menyenaraikan tiga vaksin yang boleh digunakan untuk pencegahan Mpox.
Beliau berkata bahawa ketiga-tiga vaksin ini pada asalnya dibangunkan untuk mencegah cacar tetapi kemudiannya diperluaskan untuk digunakan dalam pencegahan Mpox. – Bernama – ANTARA