BINTULU: Seramai 350 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang Tuai Rumah Nura di Sungai Labang di sini musnah sama sekali dalam kebakaran petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 3.32 petang.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati rumah panjang 28 pintu yang diperbuat daripada kayu, dengan anggaran saiz 30 meter x 100 meter, sudah terbakar sepenuhnya,” katanya.
Operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan sumber air dari parit berdekatan berjaya mengawal kebakaran pada jam 5.00 petang.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.