PETRA JAYA: Seramai 127 pelajar di seluruh Sarawak terpilih untuk menerima biasiswa daripada Sarawak Energy, tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, pelajar yang terpilih daripada 1,846 pemohon pada tahun ini adalah antara bakat muda Sarawak terbaik dan cemerlang.
“Kami komited kepada kepelbagaian dan inklusiviti, dengan meningkatkan sokongan untuk penerima biasiswa wanita, terutama dalam bidang teknikal yang biasanya didominasi lelaki.
“Menurut statistik tahun ini, kira-kira separuh daripada penerima biasiswa yang dianugerahkan adalah wanita.
“Selain itu, pada tahun ini, kira-kira 30 peratus daripada penerima biasiswa kami berasal daripada komuniti berhampiran projek dan operasi Sarawak Energy, termasuk 32 pelajar dari Belaga, Bintulu, Dalat, Daro dan Kapit,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis Anugerah Biasiswa Sarawak Energy di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sharbini menjelaskan bahawa program biasiswa mereka telah membantu ramai belia Bumi Kenyalang meneruskan pendidikan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di universiti tempatan dan luar negara.
“Program biasiswa ini adalah kunci dalam tanggungjawab sosial korporat kami untuk memupuk pembangunan inklusif dan membuka potensi pelajar Sarawak.
“Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa 75 peratus daripada penerima biasiswa telah ditawarkan pekerjaan dengan Sarawak Energy,” katanya.
Tambah Sharbini, Sarawak Energy telah memperuntukkan sejumlah RM16 juta untuk program tersebut, tahun ini.
Untuk rekod, program yang bermula sejak 2014 ini telah memberikan sebanyak sebanyak 1,019 biasiswa dan 166 pekerja juga turut diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di bawah Program Pendidikan Berterusan oleh Sarawak Energy.
Oleh Mohd Neenatul Aizal