MIRI: Seorang lelaki warga tempatan yang disyaki suspek dalam kes bunuh di Ladang Sawit Sebubok Niah pada penghujung Julai lalu berjaya ditahan oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu, mengesahkan bahawa tangkapan telah dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
“Suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 20an,” katan dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain itu, pihak polis juga telah berjaya membuat rampasan senjata api buatan sendiri iaitu bakakok yang disyaki digunakan dalam kejadian berkenaan,
Sehubungan itu, katanya, suspek telah direman di Mahkamah Miri selama tujuh hari hingga 18 September untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Alexson turut menasihatkan masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan isu-isu yang belum disemak kesahihan di media sosial.
Tindakan sedemikian, katanya, boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat tempatan.
Bagaimanapun, beliau juga menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan perlakuan tersebut untuk tampil ke balai polis berdekatan.
Mereka boleh juga menghubungi talian 085-433370 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.