NEW YORK: Juri di Amerika Syarikat (AS) memberikan ganti rugi sebanyak AS$50 juta (kira-kira RM217 juta) kepada seorang lelaki yang menghabiskan hampir 10 tahun dalam penjara selepas disabitkan kesalahan membunuh, kata peguamnya pada Selasa.
Juri persekutuan di Chicago pada Isnin memutuskan memihak kepada Marcel Brown, 34, dengan memberikan ‘hadiah terbesar kepada seorang plaintif kerana sabitan salah dalam sejarah AS’, kata firma guaman yang mewakilinya Loevy & Loevy.
Brown ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara 35 tahun selepas disabitkan bersalah sebagai rakan sejenayah dalam pembunuhan seorang lelaki berusia 19 tahun pada 2008.
Bagaimanapun pada 2018, kes terhadapnya digugurkan dan dia dibebaskan selepas peguamnya mengemukakan bukti bahawa pengakuan itu diperoleh daripadanya secara tidak sah.
Menurut Loevy & Loevy, “pegawai polis Chicago mengunci (Brown) di dalam bilik soal siasat lebih daripada 30 jam, menyoal siasatnya tanpa henti, menghalangnya daripada makan, menolak permintaan berulang kali untuk panggilan telefon dan menghalangnya daripada tidur.”
Selepas perbicaraan selama dua minggu di Chicago, juri sebulat suara bersetuju dengan pasukan pembelaan Brown “bahawa polis memaksa kenyataannya dan bukti rekaan,” kata firma guaman itu dalam satu kenyataan.
Juri menganugerahkan Brown dengan AS$10 juta (kira-kira RM43.4 juta) sebagai ganti rugi bagi tempoh antara penahanan dan sabitan, dan AS$40 juta (kira-kira RM173.6 juta) sebagai ganti rugi untuk masanya di penjara dan selepasnya.
“Keadilan akhirnya dilaksanakan untuk saya dan keluarga saya hari ini,” kata Brown di luar mahkamah. – AFP