JULAU: Sebuah premis kedai kopi hampir musnah terbakar di Jalan Lim Ah Din, di sini, malam tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran tersebut pada 7.50 malam.
“Setibanya di lokasi kejadian, sepasukan bomba dari BBP Bintangor melancarkan operasi pemadaman yang melibatkan teknik defensif dan ofensif sekali gus berjaya mengawal kebakaran dalam masa 20 minit.
“Kebakaran tersebut mengakibatkan 80 peratus kemusnahan pada kedai di tingkat bawah, sementara tingkat atas hanya mengalami kesan asap.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin turut hadir di lokasi kejadian.
Nicholas berkata premis tersebut tidak boleh diduduki selepas kejadian kebakaran sehingga tarikh yang akan ditentukan kelak.
Beliau turut menyatakan bahawa orang ramai dilarang memasuki premis atau mana-mana bahagian premis berkenaan.
“Sesiapa yang memasuki atau berada di dalam premis atau mana-mana bahagian premis tanpa kebenaran pegawai bomba, ia ada satu kesalahan di bawah Seksyen 47 Akta Perkhidmatan Bomba 1988,” katanya.
Gambar
Lokasi kebakaran di premis kedai kopi di Jalan Lim Ah Din, di Julau, malam tadi.