KUALA LUMPUR: Bermula 1 Okt ini, semua produk makanan dan minuman yang mengandungi gula akan dikeluarkan daripada senarai barangan yang diberikan potongan harga dalam Program Jualan Rahmah MADANI.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata langkah itu dilakukan untuk menyahut Kempen Perangi Gula yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan masyarakat.
“Kita akan menarik barangan-barang yang mengandungi gula daripada senarai jualan Rahmah … tiada lagi diskaun.
“Jika sebelum ini Jualan Rahmah menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus, selepas ini barang-barang seperti susu pekat manis tidak lagi ditawarkan diskaun,” katanya pada sidang media selepas melancarkan inisiatif “Jom Kosong” di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga telah meminta KKM meletakkan gred makanan mengikut tahap kandungan gula.
Beliau berkata ia akan menjadi sebahagian daripada advokasi untuk pengguna supaya mereka lebih peka terhadap jumlah pengambilan gula selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu rakyat mengurangkan pengambilan bahan itu supaya lebih sihat.
Anwar pada Ahad lepas mengingatkan rakyat supaya lebih serius tentang penjagaan kesihatan terutama berkaitan keburukan pengambilan gula berikutan bilangan penghidap kencing manis di Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara.
Sementara itu, KPDN turut melancarkan inisiatif #JomKosong hari ini dalam usaha menggalakkan pengguna memilih minuman tanpa gula hasil kerjasama dengan pemain industri makanan dalam negara.
“JomKosong ini kita bermula dengan (memesan minuman yang) kosong, kalau kita nak tambah gula baru minta sebab sekarang kalau (pesan) kurang manis yang kita dapat itu masih manis.
“KPDN akan turut bekerjasama dengan persatuan-persatuan restoran lain seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Persatuan Sahabat Tom Yam Prihatin Semalaysia dan Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors’ General Association (MSCSPGA),” katanya.
Selain itu, Fuziah berkata rundingan menjual minuman kosong tanpa gula pada harga yang lebih murah juga sedang dilakukan bersama operator makanan dan minuman (F&B) dengan kebanyakan mereka memberikan reaksi positif. – BERNAMA