ROBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM176,700 kepada mangsa kebakaran Rumah Spencer Biju, Ulu Sebetan, hari ini.
Bantuan ini disalurkan kepada 105 penghuni dari 26 keluarga yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku pada 21 Ogos lalu.
Bantuan lain turut disumbangkan iaitu berupa barangan keperluan asas, makanan dan barangan elektronik telah disalurkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masyarakat Roban bagi meringankan beban mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik mengucapkan terima kasih kepada semua penyampai sumbangan bagi meringankan beban kepada mangsa kebakaran itu.
“Terima Kasih terutamanya kepada Angkatan Pertahanan Awma (APM) Saratok, RELA Saratok, Hospital Saratok dan ketua kaum dan ketua masyarakat (KMKK) dan pemberi sumbangan lainnya.
“Tidak lupa juga kepada ADUN Kalaka, Mohamad Duri, kerana sumbangan yang disampaikan kepada mangsa kebakaran Rumah Panjang Spencer Ulu Sebetan Roban tanpa mengira kawasan pentadbiran beliau,” katanya.
Dalam pada itu, Program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kumpulan Syarikat Malaysia LNG, anak syarikat PETRONAS yang berpangkalan di Bintulu.
Bantuan kepada mangsa-mangsa yang ditimpa bencana itu merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berteraskan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
la membabitkan mangsa-mangsa kebakaran di Rumah Panjang Spencer Biju, Ulu Sebetan Roban.
Simbolik penyerahan bakul makanan, wang tunai dan barangan elektrik itu juga telah disempurnakan oleh Pengurus Jabatan Hal Ehwal Awam dan Pentadbiran Malaysia LNG Sdn Bhd, Araffie Igat.
Turut hadir pada program tersebut adalah ADUN Kalaka, Mohamad Duri; Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee; Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid; Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Roban Steve Miller; Pemanca Thomas Lamit dan Pemanca Lim Guan Ann.
Oleh ADI SAFARMAN