LAWAS: Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas mengambil masa lebih 20 minit membersihkan pokok tumbang yang menghalang laluan di Kampung Gelugus ,Jalan Gelugus, Lawas hari ini.
Ketua BBP Lawas, Azman Ibrahim berkata sepasukan anggota dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam jam 10.20 pagi tadi.
“Sebaik tiba dilokasi didapati sepohon pokok tarap tumbang merentangi laluan jalan utama penduduk kampung.
“Anggota melakukan kerja-kerja pemotongan pokok serta dahan bagi membuka laluan kepada kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya menggunakan peralatan dua unit gergaji berantai memotong pokok itu sehingga selesai.
Operasi yang disertai lima anggota membabitkan dua kenderaan bomba itu tamat jam 10.48 pagi.
Kejadian pokok tumbang semakin banyak berlaku berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dengan tiupan angin kencang bersama hujan lebat secara mengejut.