SIBU: Kerja-kerja pengubahsuaian reka bentuk perlu diproses terlebih dahulu bagi cadangan pembinaan jalan baharu menghubungkan Jalan Wong King Huo dan Jalan Tunku Abdul Rahman.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, ini penting kerana jalan yang dicadangkan itu akan menembusi hutan simpanan Taman Rimba Bukit Lima.
“Tujuan jalan ini dibina bagi mengurangkan kesesakan di jalan sedia ada. Kita merasa bersyukur kerana cadangan pembinaan jalan itu sudah disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada sambutan Festival Pertengahan Musim Luruh anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek.
Dalam perkembangan lain, Chieng berkata, pihaknya kini sedang menunggu pakar dari Denmark untuk berunding mengenai cadangan Pelan Induk Pembangunan Semula Bukit Assek yang dijangka bermula pada 2026.
Selain itu, katanya, rancangan tebatan banjir di Kampung Sentosa telah diteruskan dan kerajaan Sarawak telah memberi lebih RM20 juta untuk projek itu yang dijangka siap, tahun depan.
“Dalam fasa keempat rancangan tebatan banjir Sibu, kerajaan Sarawak akan memberikan lebih RM120 juta untuknya.
“Fasa keempat akan bermula dari Jalan Aman ke Hotel Paramount di Kampung Datu dan dikaitkan dengan pelan tebatan banjir Sibu.
“Sebagai ADUN Bukit Assek, saya prihatin dengan projek di kawasan itu,” katanya sambil memberitahu fasa pertama dari Jalan Lanang ke Kampung Datu yang merupakan projek di bawah Kerajaan Persekutuan telah siap.
Chieng turut memberitahu, kawasannya juga menerima geran daripada kerajaan Sarawak berjumlah RM800,000 untuk menaik taraf 13 sekolah, tahun lalu.
“Walaupun Kementerian Pendidikan di bawah Kerajaan Persekutuan, saya tetap perlu menunjukkan keprihatinan kerana ia melibatkan anak-anak di kawasan saya,” katanya.
Oleh Akun Giman