KOTA SAMARAHAN: Kira-kira 100 penduduk Kampung Merakai berhimpun secara aman bagi mempertahankan tanah adat seluas lebih 2,300 hektar
daripada terus diceroboh oleh sebuah syarikat perladangan terkemuka.
Perhimpunan aman itu diadakan di hadapan pejabat Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Samarahan di sini hari ini bertujuan menggesa pihak JTS untuk turun padang bagi mengesahkan tuntutan penduduk Kampung Merakai.
Menurut Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Kampung Merakai, Empaling Anthony, pihaknya turut menghantar satu memorandum bertulis kepada JTS, menggesa jabatan itu untuk mengambil tindakan sewajarnya, sekali gus mengesahkan tuntutan tanah berkeluasan lebih 2,300 hektar.
Kawasan itu yang kini dikenali sebagai Ladang Melur Gemilang, adalah tanah berstatus tanah Hak Adat Bumiputera atau kawasan ‘Pemakai Menua/Pulau Galau/Tanah Temuda’.
Katanya, tuntutan penduduk Kampung Merakai ini bukanlah satu tuntutan tidak berasas, kerana mereka mempunyai dokumen yang mencukupi untuk menyokong kesahihan tuntutan.
“Kami mempunyai bukti dokumen keputusan mahkamah tinggi pada 2008 dan mahkamah rayuan pada 2013 yang mengesahkan kawasan yang diusahakan oleh syarikat ini adalah tanah berstatus NCR.
“Dalam keputusan mahkamah tidak menyebut secara terperinci koordinat kawasan yang dituntut ini, namun, ia ada menyebut nama sungai sebagai penanda kawasan bahawa kawasan itu berstatus NCR/Pemakai Menua/Pulau Galau/Tanah Temuda.
“Kawasan yang kami tuntut ini dikelilingi sungai-sungai yang dinyatakan dalam keputusan mahkamah tersebut. Sungai-sungai ini adalah Kuala Sungai Merenga, sepanjang Sungai Simunjan Kanan ke Kuala Sungai Jitak, kemudian Kuala Sungai Beradu dan sepanjang Sungai Simunjan Kanan ke Kuala Sungai Merit,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berakhir perhimpunan tersebut di hadapan JTS Samarahan, di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, walaupun dengan bukti tersebut, pihak JTS mengeluarkan kenyataan bahawa tanah yang dituntut adalah berstatus hutan simpan.
Katanya, pihak syarikat menggunakan surat tersebut sebagai bahan bukti untuk tidak membincangkan dengan lebih lanjut dakwaan penduduk Kampung Merakai terhadap tuntutan pampasan tanah ini.
“Pihak JTS mengeluarkan surat yang menyatakan kawasan ini berstatus hutan simpan pada 31 Januari lalu. Oleh itu, sebelum ini, kami hadir secara persendirian ke pejabat JTS, memohon agar mereka melakukan sukatan.
“Namun permohonan kami ini seakan-akan diabaikan oleh JTS kerana sehingga sekarang kami tidak mendapat apa-apa maklum balas dari mereka. Sebab itulah kami mengadakan perhimpunan aman ini, kerana kalau kami datang seorang, kami tidak dilayan” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut Empaling, keputusan mahkamah yang dikeluarkan pada 2008 tersebut adalah susulan tuntutan penduduk kampung terhadap sebuah lagi syarikat perladangan swasta yang memajukan sebidang tanah bersebelahan dengan tanah yang masih dalam pertikaian ini.
Katanya, keputusan mahkamah memihak kepada penduduk kampung.
“Pada 2013, sebuah syarikat yang mengambil alih daripada pihak syarikat swasta tersebut, sekali lagi membawa perkara ini ke mahkamah rayuan, namun mereka gagal kerana sekali lagi keputusan pihak mahkamah memihak kepada kami.
“Oleh sebab itu, selepas dua kemenangan ini, satu lagi syarikat perladangan yang dikenali sebagai Masranti Plantation Sdn Bhd yang berniat untuk memajukan sebidang lagi tanah milik penduduk kampung datang berbincang dengan kami terus tanpa perlu ke mahkamah.
“Kami sebulat suara, bersetuju dengan keputusan perbincangan pihak syarikat Masranti Plantation bersama kami, yang kami lihat sebagai ‘win win situation’ , dan tanpa masalah melunaskan pampasan yang kami minta,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar
TUNTUT HAK… Penduduk Kampung Merakai mengadakan perhimpunan aman di hadapan pejabat JTS Samarahan, di Kota Samarahan hari ini.