SAN JOSE (California, Amerika Syarikat): Pengeluar pesawat Boeing, pada Ahad mengumumkan bahawa pihaknya mencapai perjanjian sementara dengan The International Association of Machinists (IAM) merangkumi kenaikan gaji sebanyak 25 peratus, hanya beberapa hari sebelum ancaman mogok, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Persatuan IAM, yang mewakili kira-kira 33,000 pekerja pada asalnya memperjuangkan kenaikan gaji sekitar 40 peratus.
Kenaikan gaji yang dipersetujui pada Ahad, serta penambahbaikan kos penjagaan kesihatan dan faedah persaraan akan dilaksanakan dalam tempoh empat tahun.
Perjanjian ini juga menyediakan jaminan pekerjaan untuk ahli kesatuan, termasuk komitmen untuk membina pesawat baharu di satu kilang yang diwakili kesatuan di rantau Puget Sound.
Boeing memaklumkan bahawa jika perjanjian sementara ini dimeterai pada 12 Sept 2024, pekerja akan menerima bayaran sebanyak AS$3,000.
Perjanjian itu dijangka tamat pada tengah malam Khamis, dan mogok mungkin dimulakan serta-merta sekiranya tiada perjanjian dicapai.
–BERNAMA-dpa