BINTANGOR: Perayaan Kuih Bulan atau perayaan pertengahan musim luruh merupakan perayaan hasil pertanian, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing.
Katanya, perayaan ini juga dikaitkan dengan Pesta Tanglung.
“Perayaan kuih bulan disambut pada hari ke-15 pada bulan ke-8 kalendar Cina iaitu pada akhir Ogos hingga akhir September pada setiap tahun.
“Pada waktu ini, bulan biasanya mengambang dan terang, menjadikannya waktu yang sesuai untuk meraikan hasil tuaian musim panas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Kuih Bulan 2024 anjuran Persatuan Liu Kwee Tang Wilayah Tengah, malam tadi.
Tambahnya, perayaan ini disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan, selain dengan kuih bulan itu sendiri.
“Perayaan kuih bulan merupakan salah satu perayaan terpenting selain Tahun Baharu Cina,” katanya.
Dalam pada itu, Koung Hiing berkata, beliau akan menyalurkan geran khas kepada Persatuan Liu Kwee Tang Wilayah Tengah bernilai RM5,000 sempena majlis tersebut.
Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Liu Kwee Tang Wilayah Tengah, Kong Choon Hing; Pengerusi Pengelola Majlis Sambutan Kuih Bulan, Ung Sing Tai dan Pemanca Yii Hee Sieng.
Oleh Earl Anek
Gambar
CENDERAMATA…..Pengerusi Persatuan Liu Kwee Tang Wilayah Tengah, Kong Choon Hing menyerahkan cenderamata kepada Datuk Ding Koung Hiing.