LAWAS: Kerajaan negara Brunei Darussalam mula memperketatkan kawalan saringan kesihatan di pintu sempadan negaranya bagi mencegah merebaknya wabak Mpox memasuki negara itu.
Kementerian Kesihatan Brunei melalui satu kenyataan menyatakan telah mempertingkatkan langkah-langkah kesiapsiagaan kesihatan awam terhadap Mpox untuk memastikan sistem kesihatan di negara itu tidak terjejas.
Langkah itu untuk mengesan kes Mpox dengan cepat, menguruskan sebarang kes yang disyaki atau disahkan, dan mengawal penularan selanjutnya.
Mpox adalah virus yang boleh merebak melalui sentuhan rapat dengan ruam kulit, cecair badan, hubungan seksual dengan individu yang dijangkiti dan persekitaran serta permukaan yang tercemar.
Mereka yang berisiko tinggi adalah
dalam kalangan mereka yang terlibat dalam seks sejenis atau seks rambang,
yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan yang terjejas teruk dengan Mpox dan petugas Kesihatan.
Antara simptom utama Mpox ialah ruam yang boleh mempengaruhi mana-mana bahagian badan, tetapi biasanya pada muka, tangan, atau kawasan alat kelamin. Simpton lain adalah seperti demam, bengkak kelenjar dan badan lemah.
Menurut kenyataan itu lagi, bermula hari ini orang ramai yang tiba di Brunei melalui udara, darat, atau laut adalah dikehendaki menggunakan aplikasi BruHealth untuk melengkapkan Borang Deklarasi Kesihatan semasa ketibaan.
Keperluan ini dilaksanakan dibawah Akta Penyakit Berjangkit, Bab 204, untuk langkah-langkah kawalan wabak Mpox.
Orang ramai yang tiba melalui pospos kawalan perlulah melengkapkan Borang Deklarasi Kesihatan akan diminta
melaporkan sejarah perjalanan mereka dalam tempoh 21 hari terakhir dan juga
melengkapkan saringan kesihatan.
Di samping itu, nasihat-nasihat kesihatan telah disediakan di pusat pemeriksaan udara, darat, dan laut supaya orang ramai yang akan keluar negara akan dapat
mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan daripada dijangkiti.
Pengunjung dinasihatkan untuk mematuhi nasihat-nasihat ini, terutama jika melakukan perjalanan ke negara-negara yang terjejas.
Kementerian Kesihatan negara itu akan terus memantau situasi wabak di dalam negara serta di peringkat serantau dan global selain melaksanakan penilaian risiko secara berterusan.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman
web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau melalui applikasi BruHealth.
Oleh ADENG EDRUS