KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman atas 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah yang dihadapinya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dalam kedua-dua kes (rasuah dan pengubahan wang haram) yang dihadapi Musa.
Peguam Francis Ng Aik Guan, yang mewakili Musa berkata kes itu perlu ada pengakhiran dan oleh itu pihaknya memohon kepada mahkamah memberi keputusan yang wajar iaitu dengan melepas dan membebaskan anak guamnya kerana dibimbangi tertuduh akan didakwa semula.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudiannya melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada semua tuduhan itu.
“Tertuduh dilepas dan dibebaskan. Wang jaminan dipulangkan semula kepada penjamin dan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dilapangkan,” kata hakim itu.
Hakim juga membenarkan permohonan Ng untuk menarik balik dua permohonan untuk membatalkan pertuduhan dan merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan berhubung peruntukan Seksyen 82 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang dihadapi anak guamnya.
Terdahulu, Ng berkata pihaknya menarik balik dua permohonan itu kerana mahkamah telah membebaskan anak guamnya.
“Pihak kami juga merakamkan terima kasih kepada pihak pendakwaan atas keputusan ini,” katanya.
Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes itu pada bulan September, Oktober dan November bermula 14 September depan.
Musa, 69, menghadapi 30 pertuduhan rasuah dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram dan diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin bagi kedua-dua kes itu.
Pada 5 November 2018, Musa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan rasuah dan pada 5 Mac 2019 beliau dituduh atas pertuduhan wang haram dan kedua-dua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Bagi semua pertuduhan rasuah, Musa didakwa sebagai ejen Kerajaan Negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah US$50.1 juta.
Wang suapan itu sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008 mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Bagi kes pengubahan wang haram, pertuduhan pertama dan ke-16, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di UBS AG atas nama lelaki itu bagi tujuan menerima hasil aktiviti haram.
Beliau juga berdepan tuduhan alternatif, iaitu menyembunyikan pemilikan hasil aktiviti haram berkenaan.
Bagi pertuduhan kedua hingga sembilan dan 11 hingga 15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima US$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Barnes yang jumlah itu adalah daripada hasil aktiviti haram tertuduh manakala bagi pertuduhan ke-10 pula, beliau didakwa menerima S$2.5 juta atas sebab sama.
Ng ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata pihak pembelaan menerima baik keputusan itu kerana ia adalah adil dan tepat.– Bernama